Monday, 28 July 2014

Kasih Ibu Hingga Hujung Nyawa




Emak,
Dapat ku merasakan betapa gembiranya emak,
Sewaktu mendapat berita yang emak bakal menerima cahayamata,
Perasaan emak waktu itu tak dapat digambarkan,
Kegembiraan juga terpancar diwajah abah
Apabila menerima khabar tersebut..

Emak,
Ingin sekali aku memohon maaf,
Kerana sejak dari dalam kandungan lagi,
Anakmu ini telah menyakiti emak,
Waktu itu emak tak pernah marah dan,
Sedikitpun emak tak pernah salahkan anak emak,
Kerana emak tahu yang kandungan emak sihat..

Emak,
Setelah sembilan bulan aku dalam kandungan emak,
Kini tiba saatnya untuk emak berikan peluang untukku,
Untuk melihat dunia luar,
Maafkan aku sekali lagi emak,
Kerana sekali lagi telah menyakiti emak sewaktu melahirkan aku,
Tapi setelah mendengar tangisanku yang pertama,
Sakit yang emak rasakan sama sekali hilang,
Yang ada pada ketika itu hanya airmata kegembiraan,
Yang jelas terpancar diwajah emak,
Kehadiran aku disambut dengan tangan terbuka,
Menjadi ahli baru dalam keluarga emak..

Emak,
Sewaktu aku masih kecil,
Emak menatang anak emak bagai menatang minyak yang penuh,
Aku dibelai dengan penuh kasih sayang,
Emak tak pernah jemu menjaga aku siang dan malam,
Maafkan aku emak,
Kerana sejak kehadiranku,
Tidurmu tak pernah lena,
Seringkali aku menangis kehausan susu,
Disaat emak enak dibuai mimpi,
Tapi emak sedikitpun tak pernah merungut,
Malah emak terus mendapatkan aku,
Kadang-kadang aku dibuai mimpi,
Emak terus berjaga disisiku,
Selepas beberapa bulan disamping emak,
Sekali lagi emak gembira setelah mendengar perkataan ‘Mak’,
Kerana itulah panggilanku yang pertama pada emak..
Ingin emak binakan untukku,
Kehidupan sempurna,
Punya kekuatan jiwa,
Punyai maruah..

Emak,
Setelah anak emak ini makin membesar,
Aku semakin nakal,
Tapi emak tak pernah marah,
Walaupun terpaksa mengejar aku ke sana ke mari,
Emak hanya tersenyum melihat telatah anak emak,
Emak akan memastikan keselamatan aku,
Walaupun emak sentiasa sibuk dengan kerja rumah,
Bila aku deman,
Emak terus membawa aku ke klinik,
Aku mohon maaf emak,
Kerana sekali lagi terpaksa menyusahkan emak..

Emak,
Setelah hari berganti hari,
Bulan berganti bulan,
Dan tahun berganti tahun,
Kini aku mampu bercakap,
Berjalan dan berlari di atas tunjuk ajar Emak,
Semasa aku sudah berusia enam tahun,
Emak mempersiapkan aku untuk dihantar ke tadika,
Emak sering menghantar dan menjemput aku..
Maaf sekali lagi kerana telah menyusahkan emak,

Emak,
Setelah aku memasuki alam persekolahan,
Kau tetap seperti dulu,
Memastikan anakmu ini tidak terabai,
Emak telah bersusah payah membesarkan aku,
Setiap kali aku mendapat keputusan yang teruk,
Emak sentiasa menasihati aku supaya belajar bersungguh-sunggguh,
Dan disetiap kali aku memperoleh keputusan yang memuaskan,
Kau membalasnya dengan memberikan apa yang aku inginkan,
Setelah menduduki peperiksaan,
Emak sedikit kecewa, 
Bila aku tidak berjaya mendapat keputusan yang cemerlang,
Namun emak tetap menerima anak emak seadanya,
Terima kasih emak..

Emak,
Semasa aku di usia remaja,
Aku sering kali melawan emak,
Maafkan anakmu ini emak,
Aku tidak berniat untuk sakitkan hati emak,
Aku cuma perlukan sedikit kebebasan hidup,
Leteran emak lahir dari rasa luhur,
Memujuk sebelum ku terlanjur,
Itulah yang emak warisi pada aku,
Pesanan emak sentiasa terpahat di hati,
Sentiasa memperingatkan dan berpesan,
Untuk kebaikan anak emak,
Aku tahu,
Marah emak bukan kerana benci,
Tapi tanda sayang yang tak pernah luntur pada anak emak..

Emak,
Semasa aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran,
Sekali lagi ku melihat Emak menangis,
Kerana emak terpaksa melepaskan anak kesayangan emak pergi,
Berjauhan dari emak,
Aku tahu yang emak takut aku mengikut kawan-kawan yang tidak elok,
Tapi Alhamdulillah emak,
Segala pesanan emak tak pernah ku lupakan,
Setelah mendapat berita yang aku berjaya menamatkan pengajian,
Emaklah orang pertama yang gembira menerima khabar tersebut,
Tak sabar emak menunggu kepulangan anak emak,
Bilik aku emak bersihkan,
Emak sambut kepulangan anak emak dengan airmata kegembiraan..

Emak,
Kini aku telah meningkat dewasa,
Dan berjiwa merdeka,
Sedangkan Emak semakin tua membilang usia,
Diwaktu ku dibuai mimpi sewaktu kecil dulu,
Emak sentiasa berjaga sepanjang hari,
Diwaktu ku bersenang,
Kau berkerja untuk membersarkan aku,
Untukku tiada terbatas,
Emak memberi semuanya tanpa minta dibalas,
Semoga aku tak lupakan,
Jasa emak kepada aku selama ini,

Terima kasih emak,
Jasamu tidak terbalas..

Emakku Tersayang.. 
Love U 'Mak' hingga hujung Nyawa
28/07/1963